CATATAN DHUHA – FITNAH DAN BERBURUK SANGKA

Alhamdulillah pagi ini di beri kesempatan lagi solat sunat dhuha empat rakaat bersama Abang Raja dan team sukarelawan. Seperti biasa selesai solat dhuha Abang Raja akan membaca tafsir al quran, berkongsi sebuah hadis dan juga kisah-kisah para sahabat.

Pagi ini Abang Raja berkongsi sedikit ilmu dengan sebuah hadis mengenai hasutan atau bisikan syaitan yang licik supaya berburuk sangka.

Daripada Safiyyah binti Huyay r.a, dia berkata, “pada suatu ketika Nabi SAW sedang iktikaf. Lalu aku mendatangi baginda malam hari, lalu aku berbicara kepadanya. Sesudah itu aku berdiri hendak pulang, dan baginda berdiri pula menghantarku (ketila itu Safiyyah tinggal di rumah Usamah bin Zaid r.a).

Tiba-tiba lalu dua orang lelaki ansar. Tatkala mereka melihat Nabi SAW, mereka mempercepatkan langkahnya. Lalu Nabi berkata kepada mereka, “hai, perlahan-lahanlah kamu. Ini adalah isteriku, safiyyah binti Huyay.” mereka menjawab, “subhanallah, ya Rasulullah!”

baginda bersabda, “SESUNGGUHNYA SYAITAN BERJALAN DALAM TUBUH MANUSIA MELALUI ALIRAN DARAH. AKU KHUATIR KALAU-KALAU SYAITAN MEMBISIKKAN SESUATU YANG JAHAT KE DALAM HATIMU.” (hadis riwayat Bukhari-Muslim)

Hadis di atas mengandungi beberapa faedah, antara lain:

1. Menjaga diri daripada buruk sangka, dan melindungi diri daripda tipu daya syaitan serta daripada mengemukakan alasan.

2. Nabi SAW tidak menisbatkan kedua orang itu bahawa mereka berdua akan berburuk sangka. Kerana dapat dipastikan kekuatan iman kedua orang itu. Namun, baginda khuatir syaitan membisikkan hal itu kepada keduanya sehingga akan menjerumuskan mereka kepada kebinasaan. Oleh itu, baginda segera memberitahu mereka untuk mencegah perkara itu dan mengajarkan kepada orang-orang setelahnya apabila berlaku hal yang serupa.

Begitulah bagaimana Nabi SAW mengajar kita bila berhadapan sesuatu situasi yang boleh mendatangkan sangkaan buruk orang lain. Beritahu dan jelaskan terus kepada mereka sekiranya perkara yang mereka sangkakan buruk itu adalah tidak benar. Supaya mereka tidak terpengaruh dengan bisikan syaitan laknatullah hingga medatangkan kebinasaan

Semoga perkongsian hari ini dapat sama-sama kita ambi iktibar, kita amal dan seterusnya kita sampaikan..in sha Allah.

Wallahualam bissawab…

Related Post

Leave us a reply

*

*